Setiap kunjungan pelawat dihargai

Thursday, November 24, 2011

KENA HATI-HATI ELAK MAKANAN HARAM

Semalam memang rasa berat hati pergi buat liputan mengenai pelancaran rekaan batu permata yang sememangnya dimiliki oleh seorang wanita Islam.

Ini merupakan kali kedua aku membuat liputan mengenai pereka yang sama. Mula sekali yang aku tak berkenan apabila pelancarannya dilakukan disebuah bar yang bebas menghidang arak untuk tetamu yang hadir dengan makanan yang tidak pasti halal.

Kebetulan pada masa itu aku duduk semeja seorang wartawan muda dari akhbar harian (Islam) memberitahu dia dan rakan-rakan biasa ke situ (patutlah dia sendiri pun bertindik lidah) di restoran & bar wine yang mahal itu.

Yang aku heran cepatnya gadis itu berubah...masa baharu jadi wartawan apabila aku sering bertembung dengan dia kerana membuat liputan pada majlis yang sama....nampak dia baik dan sopan.....tapi setelah dua tahun berlalu.... sudah lain macam mungkin `culture shock' dengan kehidupan wartawan yang dirasakan hidup dalam `glamour' dan hadir di majlis mewah.

Tapi aku sentiasa ingat pesanan bos pertama...`Ingat Sholina, memang la orang sambut kau dengan baik apabila membuat liputan kerana datang atas sebab mewakili syarikat akhbar yang besar seperti Utusan...tapi panggil itu atas sebab kerja....jangan perasan pula sebab tak akan ada sesiapa pun teringin nak jemput kau kalau bukan sebagai wartawan...jadi jangan lah lupa diri!!! Fuh..pedas kata-kata itu sampai aku tak lupa hingga hari ini.

Dan pada masa itu juga, jurugambar dari akhbar yang sama dengan aku seorang wanita yang sarat mengandung....semasa masuk ke majlis itu dia memang dahaga...tetapi membatalkan hasrat nak minta minuman kepada `waiter' kerana bimbang dengan `kehalalan'nya.

Katanya, ``Tak nak lah akak nanti anak saya makan benda haram...kesian dia'.... Bagus...dia ada kesedaran itu berbanding wartawan dari akhbar yang semeja dengan aku itu...

Lebih menggerikan pada majlis pelancaran itu apabila model-modelnya yang terdiri daripada wanita separuh abad (mungkin di kalangan rakan-rakannya yang terdiri dari wanita kaya yang terlepas masa untuk menjadi model) memakai kalung bertuliskan nama Allah yang dipakai pada pakaian yang mendedahkan dada.

Biasanya jarang wartawan ni tak menulis setelah diarahkan pergi membuat sesuatu liputan, dan pertama kali dalam hidup aku....bos kata tak payah buat.....sungguh menyakitkan hati apabila orang Islam sendiri mempermainkan nama `Allah'....untuk dijadikan perhiasan tanpa ada rasa tanggungjawab terhadap agama.

Jika ikutkan hati macam nak membantah arahan bos apabila diarah membuat liputan untuk kali kedua oleh wanita yang sama tetapi kata bos pergilah sebab perhiasannya seperti rantai yang dihasilkan memang cantik dan unik. Pada mata aku pula tak cantik langsung!!!.

Sebelum itu memang aku layari Internet nama restoran itu dan memang sah ia restoran @ bar wine ....yang menghidangkan makanan Jepun yang pastinya arak jenis sake.

Aduh apa nak jadi dengan wanita ini. Kalau pun koleksi perhiasannya ciptaannya berharga ribuan ringgit untuk menarik perhatian wanita kaya untuk membelinya adakah perlu membuat pelancaran di bar sebagai untuk menunjukkan imej yang hebat dan `antarabangsa'.

Masa aku tiba di majlis ini pula, penganjurnya sibuk menerangkan laman web syarikat ini yang baru diancarkan. Mata aku sibuk mencari wartawan dari akhbar lain dan memang tidak ada dan yang aku perasan kebanyakan tetamu hanya menggenakan gaun pendek atau baju tidak berlengan.

Rupa-rupanya aku satu-satunya wanita bertudung yang telah memasuki sebuah restoran yang pintu masuknya dipenuhi dengan susunan botol-botol wine.

Aku sebenarnya tidak kisah walau terpaksa membuat liputan di tempat-tempat seperti ini disebabkan kerja sebab sudah beberapa kali mengalaminya tetapi aku boleh terima jika penganjurnya bukan Islam yang biasanya akan berkali-kali mengatakan makanan dihidangkan itu halal untuk dimakan kerana menghormati tetamu media yang beragama Islam.

Kalau hadir pada majlis ini biasanya aku minum jer air kosong atau air bergas seperti sprite atau coke dan bukannya minuman ala `punch yang dalam pelbagai warna kerana bimbang jika dicampur dengan alkohol.

Nak minum `welcome drink' pun aku tolak ketika disambut gadis penyambut tetamu kerana beberapa hari lalu rakan aku wartawan hiburan memberitahu dia mengambil minuman yang bercampur dengan alkohol setelah dimaklum oleh `waiter' beragama Islam.

Sementara duduk di meja itu, aku perhatikan dahulu menu makanan tengah hari itu yang menang antaranya `rice wine' ...memang sah-sah kalau aku makan....dah hidup di dunia tak banyak buat pahala....ini lagi makan benda haram.

Aku terpaksa bohong sunat...walaupun sebanarnya tidak pun ada di dalam Islam hanya untuk mengelak dengan baik apabila penganjur men jemput aku makan...aku kata puasa...tetapi aku tengok wajah orang itu macam tak percaya saja dengan jawapan aku...he..he.... Aku pun apa pagi...selesai suruh jurugambar ambil apa yang patut maka keluar dari majlis itu dengan perlahan-lahan tanpa pengetahuan penganjur.

Dan sempat aku berpesan kepada jurugambar...jangan makan...cukup kalau minum sebab makanan di situ tidak halal.

Bila balik aku beritahu bos perangai pereka perhiasan wanita ini sekali lagi lancar majlisnya di bar.

Bos aku kata kenapa tak beritahu jer...dia orang hidang makanan tidak halal...aduh...aku pula bukan jenis mulut yang lancar nak mengeluarkan kata-kata seperti itu di hadapan ramai orang dan lagi pun aku berada di majlis orang.

Aku pun heran...patutlah ada orang buat kenyataan `orang Melayu ni sebenarnya tidak kisah tentang makanan...halal atau haram''. Ya la...dah tahu makanan Jepun tu letak arak...tapi makan juga...

Kata Chef Nabil..anak Melayu dari Alor Setar yang pakar dalam makanan Jepun...dia kata 80 peratus makanan Jepun tidak halal kerana menggunakan bahan haram seperti arak dan cuka. Sebaiknya kata Nabil jangan makan langsung....termasuk yang dijual secara pek di pasar raya...memang tidak halal.

Jadi pesan anak muda ini bahawa janganlah cuba-cuba nak makan makanan Jepun.

Tetapi memang ada kalangan rakan aku dan juga sampai di dalam Facebook menceritakan sampai terliur-liurlah teringin nak makan makanan Jepun...aduh....Hebat tekak orang Melayu ni...

Bagi aku senang saja, tak payah makan....banyak lagi makanan halal di dalam dunia...nak selamat masak sahaja di rumah....tapi bahan-bahannya juga pastinya halal sebab sekarang ni sikit-sikit nak letak juga babi...entah apa hebatnya binatang ini sampai boleh menjadi 1001 macam kegunaan termasuk di dalam kosmetik.

Sebab itu aku agak jarang makan di mana-mana majlis liputan demi untuk mengelak kejadian seperti ini. Biasanya aku penuhkan perut sebelum keluar membuat liputan.

Jarang sangat aku makan....kalau nak ambik hati pengajur biasanya aku akan meneguk air kopi sahaja.

Biasanya sesiapa akan kata, untungnya menjadi wartawan....asyik makan percuma sahaja dan bukannya di tepi-tepi jalan tetapi di hotel berbintang-bintang malah di restoran mewah.

Memang..kalau ikut hati...mana tahan tengok makanan yang enak tetapi semua itu biar berpada-pada kerana perut itu lubuk segala penyakit jika tidak dikawal.



Wednesday, November 23, 2011

SESAT CARI TEMPAT TUGASAN

Keterangan gambar: Kumpulan wartawan wanita yang membuat liputan `Assisting the Amazing' anjuran Nestle Professional bergambar dengan orang kuat Bayan Indah Culinary Retreat, Rohani Jelani (depan kiri)



Sesat antara cabaran yang mejadi lumrah kepada mana-mana wartawan untuk mencari tempat membuat liputan dan pengalaman ini lebih perit jika bertugas di kota atau pinggir Kuala Lumpur.

Mana nak mencari jalan dan terpaksa pula menempuh kesesakan jalan raya lagi sedangkan masa dah tenat kerana majlis akan berlangsung dalam tempoh beberapa minit lagi.

Jantung juga akan berdegup dengan kencang sehingga hawa dingin yang dipasang di dalam kereta pun tidak ada gunanya kerana peluh sudah mercik di dahi....dan bawa kereta pun sudah laju semacam di mana boleh membawa kepada bahaya pada diri sendiri.

Namun cabaran ini ada baiknya di mana mengajar aku lebih bertenang....di mana aku pujuk diri `pedulikan kalau pun majlis sudah bermula atau hampir habis setelah aku sampai' kerana yang penting berdoa kepada Allah supaya aku dapat pulang dengan bahan dan bukannya tangan kosong.

Disebabkan itu maka apabila ada tugasan yang terletak di kawasan yang jauh atau sukar dicari sehingga menyebabkan di dalam hati masing-masing berdoa agar bos memberikan tugas itu kepada orang lain.

Dulu masa mula-mula kerja aku pun memang rasa susah hati kalau terpaksa pergi ke tempat yang susah dicari serta jauh dari pejabat atau rumah.

Disebabkan dah lama maka gerunnya sudah hilang tetapi apabila diarah pergi membuat liputan di kawasan `jin bertendang' membuatkan aku rasa bosan.

Ini kerana aku sudah pasti yang bab-bab sesat mencari tempat tugasan ni seakan sudah sebati dengan aku...kalau tak sesat memang tak sah!!

Aduh...bos kata kena pergi buat liputan memasak anjuran Nestle di Bayan Indah Culinary Retreat di Sungai Penchala.

Sudah lah sepagi cuba mencari tempat ini dengan gajet GPS...pun gagal mengesan tempat ini dan cuba pula peta dalam telefon bimbit Nokia E5...pun masih gagal...

Semalam masa di pejabat aku buka Google Maps...pun tak nampak tempat itu...

Alamat tempat itu di Jalan Palimbayan 4, Kampung Palimbayan Indah, Jalan Sungai Penchala memang tidak ada dalam gajet ini....seolah-olah berada di jalan mati.

Macamana tu....akhirnya aku telefon Bayan Indah tapi cukup memeningkan apabila orang yang menjawabnya memberikan info untuk belok kiri dan kanan dengan pantas sehingga aku gagal menyimpan petua yang diberikan.

Aku sudah biasa sesat berkilometer tetapi sesat hari ini agak menggerunkan kerana aku perlu melalui jalan berbukit, curam dan kawasan hutan.

Asyik berpatah balik kerana salah tempat juga menyebabkan aku rasa macam hampir gagal nak sampai ke tempat ini.

Mana tidaknya asal telefon saja Bayan Indah minta info tempat, aku tetap masih salah belok dan menuju ke tempat lain.

Hinggalah di pergakhiran di satu simpang tiga (setelah di kepala jalan nampak papan tanda rumah ini) di mana membuatkan aku hampir panik apabila terpaksa berhenti kerana di hadapan aku adalah laluan terlalu curam dan begitu juga di sebelah kiri yang menunjukkan sudah tiba ke jalan mati.

Nasib ada seorang lelaki muda yang bermotosikal membawa aku sampai ke Jalan Palimbayan 4 tetapi aku mendaki lagi laluan curam yang kecil untuk menuju ke sebuah rumah yang memang salah.

Kebetulan aku nampai seorang lelaki yang sedang membasuh bahagian luar madrasah di situ yang akhirnya menunjukkan aku rumah kulinari yang dicari itu dengan tepat.

Sebaik sahaja masuk ke ruang Bayan Indah, 16 chef dari restoran yang dijemput ke bengkel sehari ini masing-masing sibuk memasak.

Aku pula yang masih `terkedu' dengan sesat ini terus saja masuk ke bahagian dapur.

Datang pula Pegawai Perhubungan Awam (PR) menyapa aku, ``Hei...mengapa awak berada di sini'.... Aku yang masih bingung kerana sesat tadi sebenarnya main masuk sahaja ke rumah itu kerana tidak ada sesiapa pun menyambut aku.

Patutlah aku ditegur kerana semua wartawan tidak dibenarkan memasuki kawasan dapur....semua kena duduk di tingkat atas...PR sudah maklumkan yang kami hanya boleh buat wawancara dengan peserta dan Rohani Jelani orang kuat Bayan Indah selepas dihidangkan makan tengah hari.

Aku juga nampak Rohani yang bekerjasama dengan Nestle ini sibuk di dapur bersama dengan peserta.

Pada ketika itu juga jurugambar belum ada lagi. Aku fikir mungkin dia perlu pergi ke tugasan lain dulu kerana kebiasaanya jurugambar akan sampai ke tempat liputan lebih awal dari wartawan.

Telahan aku meleset kerana Bob muncul lebih kurang 15 minit kemudian dengan wajah kelat yang menunjukkan pertanda bahawa dia juga sama iaitu sesat macam aku....sekalipun datang dengan motosikal....Kata Bob `GPS pun tak boleh kesan Bayan Indah'.

Lepas itu aku juga bertemu dengan wartawan dari akhbar dan majalah lain...di mana semua mereka memberikan rungutan yang sama iaitu `sesat' entah ke mana-mana. Mereka ini ada yang dibekalkan dengan peta oleh penganjur pun masih sesat.

Tambah pula aku dan Bob...hanya berharapkan GPS tetapi masih juga gagal mengesan tempat ini.

Dengan letih sesat yang belum habis dan disambut dengan jawapan tidak boleh mewawancara peserta dan Rohani maka aku buat keputusan untuk balik sahaja. Info yang ada sudah memadai.

Sudahlah nak cari tempat seksa, nak wawancara peserta pula lambat lagi dan walaupun dipujuk makan tengah hari....tetapi telah membuatkan aku rasa nak makan bersama peserta menjadi hambar.

Cukuplah aku dapat menikmati secawan nescafe dibancuh sendiri dengan muffin `savoury' yang sangat sedap rasanya kerana sebelum ini mana-mana majlis pun menghidangkan muffin manis yang memang tidak disukai aku disebabkan rasanya itu.

Lebih kelakar apabila balik sahaja pejabat, bos dah senyum-senyum dekat aku dan menunjukkan dia sudah tahu hari ini aku memang `sesat barat'!!!!.

Itulah kerja wartawan sehingga aku selalu kata...disebabkan tiap-tiap hari pergi ke tempat tugasan yang berlainan maka tidak hairanlah jika wartawan boleh jadi pemandu teksi bila pencen dengan bersandarkan pengalaman ini.







Monday, November 21, 2011

BUAT LIPUTAN DI JAKARTA 22-26 OKTOBER


Keterangan gambar
Atas - 10,000 ahli K-Link memenuhi Stadium Pusat Konvensyen Antarabangsa Sentul (SICC) di Bogor, Jawa Barat.
Bawah - aku dengan rakan media Malaysia bergambar bersama bos K-Link Indonesia, Dr. Mohd. Radzi (berkot tengah)



Setelah kali ketiga usaha bos nak hantar aku ke luar negara akhirnya berjaya.

Tapi katanya akak pergi sahajalah...`elaun tak der' dan pergi pun kat Jakarta saja...negara jiran yang terdekat.

Aku tak kisahlah...dah bos nak hantar pergi sahajalah...dan katanya ambillah peluang ini untuk bercuti sama sebab walaupun pemergian ini selama lima hari tetapi yang kerjanya cuma sehari sahaja.

Kata bos pula, K-Link adalah sebuah syarikat jualan langsung (MLM)...tapi aku cuma minta satu kat bos cuma benarkan aku buat tuntutan perjalanan kerana maklum pukul lima pagi semua ahli rombongan kena ada di LCCT, KLIA. Siapa nak hantar aku pagi-pagi buta ni. Teksi sahaja yang sanggup.

Tambang teksi selepas 12 tengah malam memang lah dua kali ganda...Itu pun aku dapat diskaun hanya RM120.

Setelah 16 tahun `kemarau' dari dihantar ke luar negara akhirnya pada 22 hingga 26 Oktober lalu akan mengikut rombongan K-Link dalam sambutan ulangtahun ke-11 peringkat antarabangsa pada tahun ini yang diadakan di Pusat Konvesyen Antarabangsa Sentul (SICC) yang terletak di Bogor, Jawa Barat.

Masa tunggu kat LCCT aku gelisah sebab pertama kali aku menjejakkan kaki di sini, mata juga liar mencari rakan-rakan media lain...sebab dah menjadi sikap mana-mana wartawan...pergi mana-mana majlis pun mula-mula akan cari rakan media dulu tak kisahlah dari syarikat mana.... maklumlah bosan lah kalau tak ada geng.

Alhamdulillah akhirnya ada wartawan wanita dari Bisnes, TV3 dan jurugambar, dua wartawan Nona juga TV3 dan jurugambar, seorang wartawan NST. Dua lagi lelaki dari bahagian pemasaran dan iklan TV3. Jadi geng kami lapan orang dan sejak di LCCT lagi kami dah berjanji untuk tidak berpecah walau ke mana-mana sahaja.

Masa duduk pun di dalam pesawat pun aku sebaris dengan seorang wartawan Nona dan Bisnes.

Mulanya aku ingat uhhh tak bestnya naik AirAsia..makluma la kalau naik MAS sahaja disajikan makanan. Rupa-rupanya orang K-Link dah tempah makanan untuk ahli rombongannya. Lega aku dapat makan.

Dalam perjalanan hampir tiga jam itu mata aku pula antara lelap dengan tidak sebab kekenyangan makan nasi goreng kerabu...memang sedap....

Ketika di kota Jakarta kami ditempatkan di Hotel Century Atlet Park. Lebih menggembirakan aku sorang sahaja di dalam bilik yang serba mewah tu.... Menariknya singkap sahaja tirai tingkap kelihatan Stadium Senayan yang tersergam indah.

Hari pertama...sejak sampai sekitar 8 pagi....rombongan kami dibawa melawat tempat sejarah, memang membosankan kerana perut aku sudah mulai lapar.

Tambahan pula masing-masing terpaksa bangun awal untuk ke LCCT maka....suara pemandu pelancong yang dikenali sebagai Pak Ali hanya kedengaran sayup-sayup sahaja sebab mata asyik nak pejam saja.

Bagi aku kota Jakarta tidak ada bezanya apabila pertama kali menjejakkan kaki ke sini pada tahun 1995...masih mengalami masalah sama iaitu kesesakan jalan raya yang teruk....bak kata Pak Ali....kalau machet (kesesakan) sering dianggap satu perkara `biasa' kepada penduduk kota Jakarta tetapi kalau tidak machet itu namanya `luarbiasa'.

Kami semua cukup kagum dengan Pak Ali, lelaki berusia 56 tahun ini begitu cekap menggingati tahun kepada setiap peristiwa yang bersejarah di negara itu.

Jenaka rakan-rakan, jika Pak Ali pada suatu hari nanti meninggal jangan dikuburkan kepalanya kerana otaknya yang mempunyai daya ingatannya cukup hebat...dan ada yang kata nak cucuk `USB' kat kepalanya sebab nak `download' fakta-fakta sejarah.

Tapi nakalnya kami (kumpulan wartawan) bersama dengan ahli K-Link suka mencelah untuk bertanya lain-lain perkara bagi membuat Pak Ali terpaksa terhenti seketika kerana terlupa fakta. Bukan apa saja mereka yang `nakal' ini hendak menganggu kelancaran apa yang diceritakan oleh bekas guru di sekolah rendah ini.

Aku sendiri pun tak tahan hendak ketawa maklumlah rakan-rakan media sendiri pun memang suka buat kelakar....memang aku dapat rasakan walaupun baru kenal kami antara geng media sudah mesra bagai adik-beradik.

Bukan sahaja saling menjaga di antara satu sama lain apabila terpaksa menempuh ribuan ahli K-Link yang dianggarkan berjumlah 10,000 yang memenuhi stadium tertutup SICC untuk meraikan ulangtahun ke-11 K-Link bagi menuju ke tempat yang disediakan untuk media.

Letih siang belum habis...masing-masing sudah tidak tahan dan antara media termasuk aku entah berapa kali sudah melelapkan mata di kerusi kerana acara yang terlalu lama dan telinga sudah tidak tahan dengan suara semangat ahli-ahlinya untuk menjadi `jutawan MLM'.

Hampir pukul dua pagi baru berpeluang untuk melelapkan mata sedangkan keesokkannya pukul 8 pagi geng media sudah mesti berada di lobi untuk pergi di Menara K-Link yang dibuka di Jakarta pada Jun lalu.

Memang K-Link pukul habis di Indonesia. Ahlinya sudah berjumlah 2 juta orang di Indonesia.

Kata orang kuatnya di Indonesia yang merupakan anak kelahiran Slim River, Perak, Dr. Mohd. Radzi dengan bangunan RM100 juta itu sudah membuktikan K-Link bukan sebarangan MLM sekalipun beliau terpaksa `berperang' dengan usaha untuk mensabotaj produk MLM itu.

Masuk hari kedua memang aku dan rakan media yang lain terasa sangat letih...sampai aku dah mula buat perpatah `di mana dapat bersandar di situlah mata akan terlelap'....jadi nampak sangat geng media akan `pejam mata' sebaik sahaja dapat duduk di kerusi apa tah lagi di dalam bas.

Bagaimanapun seronoknya mengikuti K-Link ni kami semua dijamu dengan makanan yang enak dan restoran yang terbaik.

Tapi dalam banyak makanan yang disajikan di sepanjang lawatan ini, aku dan geng media memang tidak berapa suka dengan makanan Sunda...maklumlah kering sangat....langsung tidak berkuah dan rasa macam nak jirus sahaja air kosong ke dalam nasi.

Menyentuh tentang makanan Jawa ini, semenjak bekerja dengan rakan-rakan sejawat di Mega Utusan Malaysia yang kebanyakannya orang Jawa maka sekarang aku sudah menyukai sambal goreng Jawa dan ayam penyek sekali pun sambalnya pedas menyegat.

Dulu aku juga tak suka tempe....tetapi semenjak tengok anak saudara aku, Wi suka sangat makan tempe goreng aku mencuba dan sekarang sudah mulai suka.

Semasa di Jakarta juga aku dan rakan-rakan awalnya merancang nak ke Tanah Abang tetapi jalan sesak membuatkan kami semua `tabahkan hati walau sikit terkilan' kerana gagal membeli-belah di tempat yang tersohor ini.

Aku dan rakan tetap sabarkan hati nak membeli-belah pula di Pasar Baru, Bandung.

Sebab itu sekalipun bas kami tiba di Pasar Baru sudah pukul 5 petang dengan hujan teramat lebat....semua tak kisah basah kuyup asalkan dapat membeli-belah di sini.

Masa selama sejam yang diberikan dengan mana lagi kebanyakan kedai sudah mula tutup..masing-masing antara kami terpaksa berpecah demi untuk membeli-belah supaya masing-masing tidak kecewa lagi.

Lagi seronok apabila keesokan paginya, aku dan geng media membuat atur cara sendiri (sebab satu lagi kumpulan nak membeli-belah di Rumah Mode yang sememangnya jauh dari citarasa aku) maka kami berjalan kaki ke Pasar Baru dari penginapan di Arion Swiss-Belhotel yang cuma mengambil masa selama 15 minit sahaja.

Kali ini memang puas membeli. Sekalipun ada seorang rakan mendapat khismat pesanan ringkas (SMS) bahawa penerbangan ditangguhkan tiga jam tetapi masing-masing merasakan masa yang diberikan selama sejam di Pasar Baru sudah memadai.

Tak ada apa sangat yang hendak dibeli, aku cuma beli kain sulam dan telekung.

Masa ini aku terfikir kenapalah orang Malaysia begitu `gila' membeli-belah di Bandung.

Ada seorang rakan media memberitahu, isteri dan adik beradiknya ke Bandung hanya untuk membuat rawatan mengikat gigi (braces) sebab harganya murah. Begitu juga dengan adik ipar tukang jahit aku di Kangar sanggup ke Bandung untuk membeli pakaian pengantin yang katanya murah dan boleh siap dalam masa sehari.

Kuatnya semangat orang Malaysia menjana ekonomi negara luar. Itu belum kira berapa billion ringgit setiap tahun rakyat asing `mengepos' wang dari negara ini untuk dihantar ke negara masing-masing.

Aku pula hanya membeli ala kadar sebab bagi aku lebih seronok membeli-belah di dalam negara sendiri kerana boleh buat pilihan sama ada hendak membeli barang yang berharga mahal, sederhana atau murah....selain itu pilihan juga amat banyak.

Pengalaman aku ke luar negara kali ini memang menyeronokkan kerana bukan sahaja tidak perlu menghantar sebarang berita dengan segera kerana setelah pulang sahaja baharu akan memulakan kerja untuk mengarang rencana.

Betul kata bos, ini peluang untuk aku bercuti. Alhamdulillah..sebab selama lima hari ini tidak ada yang kurang...sekali-sekala rasa macam `rich and famous'...dengan layanan terbaik dari K-Link dan rakan media.

Sehinggalah di saat akhir ketika kami semua nak `check-in' penerbangan apabila aku tiba-tiba merasakan pasport tidak dikembalikan....sedangkan semua ahli rombongan sudah dapat....sampai semua orang panik...riuh sebentar kat lapangan terbang Bandung...akhirnya aku dinasihatkan periksa poket beg tangan...memang terselit di situ.

Kata seorang wartawan..akak ni memang cari publisiti....muka dia orang semua macam nak marah aku...aku selamba jer kata `jangan marah yer....akak kan dah berumur (lebih dari semua ahli rombongan)....biasalah kadangkala terlupa..he..he....aku pasti `kecoh' yang aku buat tidak akan dilupa oleh semua ahli rombongan sampai bila-bila...

Friday, November 11, 2011

SUMBER YANG CEREWET

Baru-baru ni bos hantar aku ikut lawatan sebuah syarikat jualan langsung (MLM) yang berpangkalan di Kuala Lumpur sejak tahun 2000 ke kota Jakarta untuk membuat liputan majlis sambutan ulangtahun peringkat antarabangsa kali ke-11.

Entah macamana setelah kali ketiga bos mencadangkan aku untuk keluar negara ((semenjak duduk di meja Keluarga) baharu dapat peluang ini dan katanya, ``Akak elaun tak ada yer sebab syarikat hendak berjimat''. Fuhhh....dah lah 16 tahun tak pernah aku dihantar ke mana-mana pun....bila dapat keluar elaun pula tak ada....Tak apa lah...sudah nasib...pergi pulak tu ke tempat yang dah aku sampai pada tahun 1995.

Tak kisah lah....dah nak hantar ikut sahajalah....pergi jangan banyak songeh!!!

Kisah yang aku nak cerita ni bukan pasal ikut rombongan MLM ni tapi kisah aku menulis rencana mengenai syarikat ni....

Sebenarnya aku dah siapkan pun rencana dalam tiga muka surat berkaitan MLM ini untuk ruangan fokus Mega nanti sebaik masuk kerja.

Salah seorang pengurus yang juga sebagai PR (perhubungan awam) syarikat ini pada suatu hari menelefon aku dan katanya nak aku emelkan rencana yang dah siap itu supaya dapat dibuat semakan sebelum ia disiarkan.

Sebenarnya inilah salah satu perkara yang membuatkan mana-mana wartawan memang `bengang' hendak melayan sikap sesetengah daripada sumber yang tidak percaya dengan apa yang kita tulis.

Kalau sudah tidak ada kepercayaan maka tidak perlu panggil wartawan.

Alasan untuk semakan ini sebenarnya menyusahkan kerana biasanya sumber ini akan mengambil masa berhari-hari sedangkan bahan ini sudah diminta oleh editor yang hanya menyemak dalam tempoh tidak sampai setengah jam.

Sikap sumber yang cerewet ini memang `memualkan' mana-mana wartawan termasuk aku sendiri.

Sekali lagi aku terpaksa berdepan dengan karenah syarikat MLM yang mungkin merasa aku sangat terhutang budi dengannya kerana dah bawa aku melancong secara percuma ke Jakarta dan Bandung.

Aku pun sedar dan tidak mudah lupa dengan jasa orang... jadi disebabkan itu maka aku tepaksa juga meringan-ringankan jari menghantar salinan ini menerusi emel kepada pengurus tersebut.

Rupa-rupanya tiga hari dia mengambil masa untuk menyemak tulisan aku.

Tapi kali ini dia bernasib baik kerana bos aku belum pun lagi menengok bahan aku tu sampai aku tulis di blog ini (entah kenapa kes ini tak pernah berlaku atau dia pun macam tahu aku ada masalah dengan kakitangan syarikat ini???) .

Setelah beberapa kali aku menghantar khidmat pesanan ringkas (SMS) baharulah dia membalas kembali.

Aduh....nasib baiklah aku ni jenis susah nak marah orang.... Dia telefon aku hanya untuk beritahu bahawa semua ayat dan ejaan yang aku tulis itu betul kecuali perkataan Datuk sepatutnya ditulis Dato'. Ingatkan berhari-hari membelek tulisan aku untuk mencari fakta yang salah.

Aku jelaskan tidak perlu dia bersusah-payah membaca kesalahan ayat dan ejaan aku kerana apa yang penting tengok fakta sahaja kalau aku salah tulis.... itu sahaja. Sebab aku kan ada bos yang akan edit rencana mengikut apa yang dia inginkan.

Ni lah sebab mengapa wartawan malas nak melayan sumber yang memandang rendah di atas kebolehan kami.

Pengurus MLM ni lain macam perangainya....sudahlah cakap bagai mengarah-arah. Tak kan aku perlu eja Datuk pun mesti ikut kemahuan dia...aku kata ia tidak boleh diubah sebab ini `house style' Utusan tetapi nampaknya dia masih tak dapat memahami bidang kerja orang lain. Macamana tu????

Sedangkan semasa aku bekerja di meja am pun, editor yang kebanyakannya bertaraf adik - sekalipun jarak usia tidak begitu jauh tak akan bercakap dengan kasar dengan aku dan biasanya akan meminta dengan baik jika mahu aku mengubah semula ayat yang dimahukan mereka sebab masih hormatkan `akak senior'.

Sayang sekali....orang macam ni seperti tidak berpijak di bumi nyata....aku yang lebih 20 tahun dalam bidang kewartawanan dan hampir bertugas di kesemua meja termasuk sebagai penyunting selama lima tahun pun dia tak heran sebab dari `businees card' yang aku hulurkan cuma tercetak perkataan `journalist' berbanding dengan dia seorang `manager'.

Tidak mengapalah....sekalipun aku hanya seorang wartawan....di mana rakan sekuliah aku sudah bertaraf nombor tiga di dalam syarikat.....tetapi tak ada pangkat pun janganlah perlekehkan seseorang itu sebab sebenarnya bukan semua orang `gila' nak kejar pangkat.

Aku pun bukan perasan diri hebat sehingga tidak boleh orang komen tetapi biarlah yang bertempat dan bukannya remeh-temeh bagi menunjukkan dia seolah-olah lebih hebat dari editor tempat kerja aku.

Apapun kita kena belajar menghormati kerjaya orang lain dan jangan sesekali memandang rendah pada sesiapa sahaja dan boleh jika ingin membuat teguran tetapi biarlah secara berhemah kerana kata emak `tidak rugi jika kita cuba menjadi ayam betina' ok.

Saturday, November 5, 2011

KETUPAT PALAS HIDANGAN UTAMA HARI RAYA



Mana mungkin di pagi raya tiada hidangan ketupat palas.

Tidak dapat tidak...ketupat antara makanan tradisional orang Melayu khususnya di negeri sebelah Utara termasuk negeriku Perlis...juadah yang mesti ada sama ada pada hari raya Aidil Fitri atau pun Aidil Adha sekali pun dalam masa yang sama sibuk nak menunaikan ibadah korban.

Walaupun hari raya Aidil Adha tahun ni...aku tak pulang beraya...tapi masa pulang dari Perlis sejak tugas hari lalu aku dah siap beli daun palas.

Pada hal tadi semasa aku ke Pasar Chow Kit...berlambak peniaga jual daun palas...konon nak elak kelam-kabut maka daun ini dibawa dari jauh demi utk menyambut raya dengan hidangan ketupat di kota metropolitan...Kuala Lumpur.

Bercerita tentang ketupat palas....tersengih aku apabila Makcik Ramlah (bekas rakan sebilik masa di Madinah ketika mengerjakan haji tahun lalu) menceritakan anak-anaknya langsung tidak mahu belajar buat ketupat.

Dia tanya aku pandai tak..oohh..mesti...mana mungkin aku tak hendak mewarisi budaya Melayu ini.

Bagi aku adalah sayang sama sekali generasi muda tidak ada kemahiran membuat ketupat palas ini.

Mungkin jawapannya apa susah..beli saja yang dah siap. Ya memang boleh beli tetapi sebenarnya daripada membuat ketupat itu memberi peluang kepada seluruh ahli keluarga beramai-ramai berkumpul untuk membuatnya bersama-sama.

Bukan sahaja boleh mengeratkan silaturahim malah membolehkan ilmu membuat ketupat ini diperturunkan dari satu generasi ke satu generasi.

Sekalipun ketupat dikatakan semakin kurang diminati oleh generasi muda tetapi bagi aku ketupat dan raya umpama lagu dan irama di mana sukar untuk dipisahkan.

Bagi aku seolah-olah tiada kemeriahan raya jika beberapa hari sebelum itu mana-mana rumah tidak diserikan dengan kesibukan untuk mencari daun ketupat, membuka daun ketupat (yang mesti dilakukan sebelum sehari membuat ketupat), membalut ketupat dan menyediakan gulai atau rendangnya untuk dimakan bersama keluarga di pagi raya.
Untuk mahir membuka daun ketupat bukannya mudah kerana kemahiran ini perlu dipelajari secara berperingkat-peringkat...daripada membuka daun palas untuk dibentukkan menjadi kelongsong ketupat dan untuk membalutnya setelah diisikan pulut juga bukan mudah.

Apa tah lagi untuk menanak pulut supaya pulut rasa sedap selepas melakukan proses terakhir iaitu merebus atau mengukus ketupat.

Aku pun tidak ingat usia berapa sudah belajar membuka daun ketupat tapi yang pasti di peringkat sekolah rendahlah....ketika itu ibu dan nenek hanya berikan daun palas sahaja untuk aku main-main....apa yang penting asasnya tahu membuka daun palas dahulu...iaitu proses membuat kelongsong atau bentuk ketupat dahulu.

Tetapi proses belajar ini bukan untuk sekali menyambut raya sahaja dah cekap tetapi mengambil masa selama bertahun-tahun sebelum layak diberikan tugas mengisi pulut ke dalam kelongsong daun palas.

Masa ni la siap gelak ketawa yang akan berlaku perkara lucu apabila tiba-tiba menjadi `ketupat betina'...maksudnya kena buka balik sebab cara balutan dah salah....kena betulkan balik menjadi `ketupat jantan'....baru betul dan pandai.

Nampaknya sampai ke ketupat pun...masih dimonopoli oleh kaum lelaki...apabila diletakkan sebagai piawaian kepada balutan yang terbaik dalam membuat ketupat palas.

Apa pun aku sendiri belum dapat menilai sejauh mana kemampuan untuk membuat ketupat palas terbaik...kerana setakat ini....aku sekadar menjadi pembantu ibuku yang masih gagah di dapur walau pandangan telah mulai kabur....