Setiap kunjungan pelawat dihargai

Friday, October 7, 2011

KISAH KUCING GELANDANGAN


Siapa tak `jatuh hati' kalau tengok kucing.... Begitu juga dengan aku... Kali ni nak bercerita pasal kucing.

Kucing ini sebenarnya bukan milik aku bahkan tidak dimilik oleh sesiapa pun yang tinggal di kawasan perumahan aku ini. Sebenarnya kucing ini tidak bertuan...Aku pun tak tahu sejarah kucing ni sebab dah hampir lapan tahun aku tinggal di Kampung Baru ni....dia memang dah ada pun. Cuma masa tu aku tak pernah peduli dia pun sebab masa tu dia memang ada tuan iaitu gadis bujang yang tinggal di tingkat bawah.

Menurut jiran aku di rumah bawah ni, tuan kucing tu dah lama pindah balik kampung dan dia juga yang telah `mengkasikan' kucing ni. Aku namakan kucing ini sebagai `Pong' dan ada baiknya kucing jalanan seperti Pong ini dikasi supaya tidak mengandung dan melahirkan anak-anak sehingga bersepah merata-rata. Tetapi kasihan pula aku tengok sebab Pong akan lari lintang-pukang kerana dikejar kucing-kucing jantan yang datang nak mengoda.

Aku pula mula serius untuk menjadi `tuan tak bertauliah' kepada Pong hanya setakat memberi makan sahaja itupun semenjak mak mula tinggal bersama aku tiga tahun lalu. Ini kerana mak memang ada masa untuk melayan kucing ni termasuk membuka pintu rumah pada bila-bila masa jika Pong lapar nak makan `Friskies' atau minum air.

Ada cerita menarik tentang kucing ni...di mana sikap Pong telah mengingatkan aku tentang novel yang dialih bahasa Jepun `Hachiko - Kisah Anjing Yang Setia' yang dibaca ketika aku berada di bangku sekolah rendah. Kisah anjing ini tidak pernah luput dari ingatan aku sehingga sekarang. Aku sedih mengenangkan setianya Hachiko yang akhirnya mati kesejukan kerana setia menunggu kepulangan tuannya di stesen keretapi. Sudah tugas Hachiko pada setiap pagi akan menghantar tuan ke stesen keretapi dan juga akan menunggu tuannya di situ ketika pulang. Tetapi Hachiko tidak tahu pada suatu hari tuannya telah meninggal tetapi dia tetap setia menunggu. Tugu Hachiko telah dibina di stesen kereta api di situ sebagai mengenangkan kesetiaannya itu.

Sikap `Pong' ini juga ada seiras-iras dengan cerita Hachiko. Pong memang begitu menghargai orang-orang yang memberi dia makan.

Biasanya yang akan memberi dia makanan selain aku juga seorang jiran tinggal di tingkat bawah, seorang kakak penjual lontong dan seorang nenek yang suka lepak di gerai jual nasi lemak di lorong jalan kat hadapan rumah aku.

Pong sekalipun tidak bertuan tetapi dirinya tidak akan kebuluran seperti kucing gelandangan yang lain....kerana banyak insan-insan yang menyayangi dia...misalnya...rumah aku menyediakan makanan selama 24 jam (tapi amat malang kepadaPong sebab aku selalu balik kampung yang biasanya dua atau tiga hari pada setiap sebulan), jiran bawah biasanya akan berikan dia makan pada waktu malam selepas balik kerja, kakak jual lontong yang akan lalu tepat 11 pagi di hadapan rumah aku itu pula akan sediakan seketul ayam goreng yang siap dibuang tulang untuk Pong dan nenek yang akan bawa bekalan makanan untuk dia setiap pagi.

Memang Pong seekor kucing yang begitu menghargai jasa orang yang memberikan dia makan. Apa yang aku perhatikan dia ada jadual tetap dalam `melayan' orang-orang ini mungkin sebagai tanda penghargaan yang tidak dapat dihuraikan dengan kata-kata (maklum la tak boleh bercakap..nama pun kucing..he..he..)

Jadi tepat pukul lapan pagi, kucing ini akan siap menunggu gadis di rumah bawah yang akan keluar bekerja untuk dihantar sehingga ke hujung jalan kira-kira 20 meter dari rumah kami....Selain itu pergerakan Pong memang terhad di dalam kawasan perumahan ini sahaja.

Selepas itu Pong akan menyambung tugasnya lagi untk menunggu neneknya yang akan membawa makanan yang dah siap dalam bekas lagi sekitar pukul 8 lapan lebih....Dia akan makan dan kemudiannya akan berlegar-legar di tempat nenek melepak...termasuk sekali tu aku nampak berak pun dekat-dekat semak dekat situ. Selagi nenek tidak balik dia akan menunggu sahaja di situ.

Tepat pukul 11 pagi pula, kakak penjual lontong dengan kereta tolaknya dan berhenti di depan kawasan rumah aku untuk memanggil Pong yang kemudiannya berkejar untuk makan ayam goreng.

Nanti bila pukul 9 malam pula Pong akan tunggu kepulangan jiran di rumah bawah yang akan sampai ke rumah pada waktu ini untuk diiring sehingga masuk ke rumah.

Tapi kalau dengan aku Pong memang pening. Dia tak dapat menggagak masa keluar dan balik aku seperti orang lain. Cuma dia ada juga usahakan tunggu aku pulang dari kerja. Biasanya dia siap lepak kat depan pintu rumah sambil menjilat bulu - kegemarannya di masa lapang.

Agak kelakar Pong ni memang seekor kucing yang begitu mudah terkejut dan kuat merajuk. Pantang terjatuh sikit barang maka dia akan lari sekalipun ketika itu tengah makan dan kalau lama sangat dia meminta makanan dan kami buat tak tahu sebab sibuk maka dia akan keluar selamba saja dari rumah sehingga tak berpaling lagi...merajuk!!!.

Pong ni memang kucing comel dan bersih tetapi tidak suka jika ada yang nak bermanja-manja dengan dia. Ia jenis suka mengigit dan agak garang. Aku pula sengaja biarkan dia mengigit jari aku kerana tidak berbekas pun dan ini membuktikan yang usia Pong sebenarnya sudah tua sebab gigi pun dah tumpul.

Sebab itu jika aku nak bagi makan ikan rebus biasanya mak akan buangkan tulang ikan dan ambik isinya sahaja bagi memudahkan Pong mengunyah dan menelan dengan mudah.

Sejak beberapa malam ni Pong nampaknya memilih untuk tidur kat rumah aku maklum la hujan lebat di siang hari pastinya akan membuatkan dia kesejukan kalau tidur di luar.

Aku faham sangat kalau bukan pintu dia buat tak tahu saja maka dia nak tumpang tidur. Biasanya Pong akan mengeluarkan suara kuat di hadapan pintu rumah jika hendak keluar. Tak mengapalah....aku pun suka dia tidur di tempat yang selesa.

Lagipun Pong kucing yang pandai membawa diri. Bukan sahaja tidak pernah memanjat atau menyelongkar makanan di dalam rumah aku tetapi tidak berak atau kencing sesuka hati sekalipun semalaman berada di dalam rumah.

Dia cuma minta makanan, minuman dan tempat tidur itu pun kalau cuaca sejuk di luar. Pong oh Pong....kucing gelandangan yang sangat bertuah kerana disayangi semua orang.

No comments:

Post a Comment