Setiap kunjungan pelawat dihargai

Friday, May 23, 2014

JEMUR IKAN PUN KENA KREATIF


Unik tak cara aku jemur ikan..he..he..



Ikan kembung sekilo RM 2 waktu singgah beli ikan di pasar Kuala Sanglang memang sangat murah. Aku beli dua kilo walau cuma anak-anak ikan...kata penjual ikan hasil pukat tarik... Ada ku dengar seorang lelaki sambil lalu merungut `abis la anak ikan pun dikutip'... Percakapan ini contoh manusia yang sayangkan hasil laut supaya tidak pupus.

Balik separuh ikan ini dibuat laksa....lebihnya untuk digoreng...teringin pulak nak buat ikan kering.

Lima ekor saja nak cuba, tapi aku dok fikir pulak macamana nak jemur. Bukan tak ada tembok rumah untuk diletakkan talam yang berisi ikan tapi masalahnya kucing banyak...

Fikir punya fikir....inilah aku dapat buat...  Ha..ha...pelik pun peliklah...janji aku dapat jemur ikan dengan selamat tanpa dicuri kucing.

Kucing yang meniti dari atas tembok pun asyik terkebil-kebil tengok....yang di bawah tertinjau-tinjau...semuanya memandang dengan penuh hampa. Aku geli hati melihat gelagat kucing-kucing nakal ini dari sebalik cermin pintu rumah.

Apa pung dengan menggunakan penyangkut baju menjadi ala tali melapik talam berisi ikan yang digantungkan pada troli penyidai kain memang berjaya..he..he....

Dalam keadaan terdesak....jika gunakan akal...yang buntu dapat dileraikan..dengan izin Allah...

Monday, May 12, 2014

PASAR KEMBOJA PARIT BUNTAR - PENGALAMAN MEMBELI-BELAH DI DALAM KAMPUNG

Tepi pokok pisang boleh didirikan gerai menjual pakaian

Kawasan lapang di tepi rumah yang ada pokok kelapa pun jadi gerai jualan pakaian siap

Van diparkir bersebelahan gerai jualan yang terletak berhampiran pokok tebu

Tepi rumah pun jadi tempat jualan makanan orang Kemboja  

Bawah rumah juga jadi gerai jualan dengan kain ela yang menimbun

Antara ratusan gerai yang menjual kain dan baju secara longgokan 
Secara tidak sengaja nak sangat ke Pasar Kemboja di Parit Buntar, Perak setelah berkunjung ke rumah rakan sebilik di Mekah semasa menunaikan haji tahun 2010. Makcik Timah kebetulan baru balik ke pasar berkenaan menceritakan keseronokan membeli-belah di sini..

Fikir punya fikir...baca blog lagi untuk mendapat maklumat mengenai Pasar Kemboja ini. Akhirnya ambil keputusan untuk bermalam di Parit Buntar Inn pada 9 Mei 2014...alasannya..nak elak tempuh jalan sesak ke tempat ini dan masalah parkir.

Pasar Kemboja yang dibuka pada setiap Sabtu di Jalan Permatang Tok Mahat ini dibuka dari 6.30 pagi hingga 12 tengah hari.

Jadi pukul 6.30 pagi aku dan keluar dari penginapan dan bergerak ke pasar ini yang cuma memakan masa lima minit sahaja. Lega dapat parkir di tepi jalan. Memang susah nak parkir kerana semua tepi jalan sudah ditempah secara tak rasmi oleh peniaga.

Kalau nak meninjau ke semua kawasan gerai di sini memang tidak sempat kerana terdapat ratusan gerai di dalam sebuah perkampungan yang besar .

Tetapi menariknya di sini memang terasa membeli-belah di dalam sebuah perkampungan di zaman dahulu..macam dalam filem Melayu lama pulak...mana tidaknya segenap pokok termasuk tepi pokok pisang, kelapa dan tebu boleh didirikan gerai jualan. Itu belum lagi bawah rumah..tepi rumah semua jadi tempat jualan.

Memang leka membeli-belah di sini...kain telekung, pelbagai jenis kain ela seperti cotton Vietnam yang tengah popular, tudung, baju siap seperti blaus atau baju kurung, jubah...boleh kata apa yang kaum wanita nak semua ada... Malah ada juga pakaian untuk lelaki.

Biasanya peniaga cuma akan bagi harga istemewa kalau beli sepuluh ke atas bagi setiap jenis barangan.

Apapun aku akan kembali lagi kerana seronok membeli-belah di Pasar Kemboja dan bercuti di Parit Buntar untuk makan pelbagai makanan enak dan menginap dengan damai di Parit Buntar Inn.




Friday, March 14, 2014

APA DAH JADI TOYOTA???............





Toyota Avanza akhirnya kena tunda
Bukan tidak percaya kereta nasional. Kereta pertama ku Proton Satria - 1.3GL...1995-2001...lepas tu Perodua Kembara 2001 - 2012...

Kedua-duanya tidak pernah menimbulkan masalah besar. Cuma Kembara ketika mula-mula beli..kena masuk bengkel selama dua hari kerana bahagian dalam sebelah pemandu..tiris...dimasuki air hujan...tp semenjak itu memandu kereta pacuam empat roda jenama Malaysia ini memang terbaik.

Nak jual Kembara pun mulanya serba-salah...bukan kerana rosak tetapi biasalah apabila usia kereta selepas lima tahun ia mula mengalami kerosakan selalu tetapi tidak begitu serius malah tidak memberikan pengalaman yang mengerikan.

Nak pilih kereta ketiga...Toyota Avanza dah lama dalam pemikiran aku...ni kes pernah sewa kereta ini semasa melancong ke Langkawi...sebab menjimatkan minyak dengan ruang dalaman lebih luas. Selain aku mempunyia alasan nak juga merasa memandu kereta luar negara. Kononnya dikatakan hebat...tak menimbulkan masalah berbanding kereta Malaysia.

Aku juga merasa puas hati dengan pilihan ini kerana kebetulan Avanza mengeluarkan model baru...aku pilih model 1.5SA/T... selepas empat bulan menunggu... aku akhirnya memiliki kereta yang menjadi impian ini pada 13 Jun 2012.

Walaupun bingit juga telinga...ada yang menegur...kereta besar (walau tak besar mana)....tapi naiknya dua orang sahaja... tapi sebab aku minat Avanza...pedulikan!!

Mula-mula memandu Avanza aku mula merasakan kepelikan pada kereta ini...entah kenapa bahagian meter asyik berbunyi...kluk..klak..kluk..klak...di sepanjang pemanduan kecuali masa berhenti di lampu trafik dan hanya senyap bila berada pada gear N.

Tak cukup dengan itu, lampu brek sebelah kiri asyik rosak.

Dua perkara ini membuatkan aku tak puas hati semasa memandu....dan setiap kali ke tempat servis Toyota itulah yang aku suruh perbaiki...tapi bunyi yang menyakitkan telinga ini tak pernah diatasi... Dah sikap aku pulak malas nak bertekak...senyap sahaja selepas beberapa kali tak diselesaikan.

Baru-baru ini aku yang sudah lama tidak bercuti akhirnya merancang untuk ke Puncak Alam, Kuala Selangor.. ke rumah abang sulungku... pada 6 Mac 2014....sepanjang perjalanan dari Kangar segala-galanya berjalan dengan lancar.

Bila berada di Puncak Alam...aku merancang pula nak ke Pengkalan Balak, Melaka.

Kali ni aku malas nak memandu, abang sulungku yang mengambil tugas ini..nak dijadikan cerita....sebaik sahaja menghampiri susur keluar Alor Gajah...setiap kali berhenti dan cuba memasuki gear D...bunyi enjin menderum dengan kuat...kalau manual macam tak masuk gear....tekan minyak tetapi kenderaan tak bergerak.

Sewaktu berhenti di sebuah stesen minyak di Alor Gajah aku cuba hubungi Toll Free Toyota...ternyata di sini bermulalah masalah aku sebagai pengguna kena tanggung segala masalah ini bersendirian... Beli sahaja kereta Jepun yang paling laku di Malaysia ini..walaupun masalah berlaku di sepanjang tempoh warranty ini pelanggan kena tanggung sendiri.

Lebih menyakitkan...aku tak dapat bantu untuk penundaan kereta sebab kad membeship Toyota aku dah tamat (sepatutnya aku dimaklumkan oleh kakitangan Toyota Kangar).

``Sila cari mekanik kereta sendiri...untuk dikenal pasti apa masalah...Toyota tiada mekanik untuk baiki kereta di luar dan di Alor Gajah tiada pusat servis Toyota'' kata petugas berkenaan .... Aduh...dah lah malu orang tengok kereta baru sangkut kat stesen minyak...masa itu sudah pukul 5.30 petang...

Mak aku dah mula kata ``kalau umur kereta baru setahun lebih....dengan jenama Toyota...rosak...baik nak kereta buruk...dulu Kembara tak pernah jadi macam ni walau dah tak boleh kira bergerak dari Kangar-KL..Kl-Kangar.

Malah mekanik yang datang pun tak nak ambil risiko untuk membantu walau tahu ia berpunca dari `gear box' sebab kereta itu masih dalam jaminan Toyota.  

Semua seram sejuk...sebab terpaksa menempuh jalan yang memerlukan kereta mendaki bukit...alhamdulillah akhirnya selamat sampai di Kamunting Beach Resorts di Pengkalan Balak....sebab semua sepakat nak juga ke sana sebab nak balik ke Shah Alam dah lewat petang..bimbang kereta rosak lagi di lebuh raya.

Akhirnya aku mengambil keputusan untuk syarikat insurans bagi menyelesaikan masalah mendapatkan perkhidmatan percuma kereta tunda. Lega apabila aku dapat perkhidmatan ini untuk ke Toyota di Seksyen 15, Shah Alam.

Rancangan sebelum itu nak makan makanan laut pada sebelah malam juga dibatalkan sebab masing-masing sudah hilang selera...malah keindahan pantai Pengkalan Balak pun tak dijenguk...menunggu pagi yang penuh debaran kerana Avanza akan ditunda.

Puas memikirkan kalau terpaksa menaiki bas...sebab tiada pilihan kami semua dan aku buat pertama kali kena menaiki kereta yang ditunda....hampir tiga jam...semua dah pening-pening lalat. Sampai Toyota...nasib dapat berehat. Mujur abang aku ada kawan nak datang ambil kami. Agak mengecewakan walau ada beberapa kakitangan....cuma sekadar bertanya biasa...tiada simpati...kereta baru kena tunda...

Keesokkannya pukul 7.30 pagi, 10 Mac..aku dah sampai ke Toyota di Seksyen 15. Kata staf yang mengambil kes aku....pihak Toyota akan periksa dahulu...apa-apa perkembangan beliau akan hubungi saya.

Daripada resit yang diberi...Toyota anggarkan kereta aku dibaiki dari 10 hingga pukul 6 petang pada 13 Mac 2014.

Aku cuma dapat panggilan dari kakitangan Toyota pada pukul 6 petang pada 11 Mac... dalam perbualan itu..dia menjelaskan...tak mungkin kereta aku dapat dibaiki pada tarikh dijanjikan kerana akan menjangkau selama sebulan.

Alasan Toyota....kena diperiksa sepenuhnya oleh Toyota HQ...(pusat)...dan barang kena ditempah dari Jepun... dan aku tanya beberapa soalan lagi dia sudah mula menyebut-nyebut...sudah pening.

Dia tak tahu pelanggan macam aku ni lagi lah pening...mana tiada kenderaan nak balik dengan mak yang baharu sahaja dibedah kerana patah kaki yang pastinya bermasalah nak menaiki tangga bas...mana nak pergi kerja lagi...sebaliknya staff berkenaan tidak memberikan apa-apa jawapan.

Esoknya pukul 9 pagi...13 Mac aku cuba hubungi Toyota Customer Service untuk bertanyakan bentuk bantuan yang boleh diberikan kalau ada kereta gantian dan sebagainya... Tetapi sehingga lah hari ini pada saat aku menulis pada pukul..2.45 petang pada 14 Mac... janji akan hubungi aku tinggal janji.

Sudahlah staff yang mengendalikan perihal kereta aku terus diam...lepas masa yang dijangkakan pada pukul 6 petang 13 Mac....tidak menghubungi aku langsung seperti yang dijanjikan.

Memang aku sifatkan Toyota ini KEJAM!!!.. Berani jual barang yang sudah rosak...susahkan hidup pelanggan... dengan aku tiada kenderaan selama sebulan...tetapi aku kena lunaskan juga bayaran ansuran di bank..

Pengajaran yang aku dapat...jangan ingat kereta baru beli tak sampai dua tahun jenama Jepun ini tak boleh rosak....malah menjadi trauma kepada aku... Nak memandu semula Avanza yang entah bila akan dibaiki itu pun aku dah jadi tidak ada minat... Hati memang kecewa sangat...Sudah hilang kepercayaan seratus peratus kepada jenama TOYOTA!!!.

Sunday, September 1, 2013

WARTAWAN PUN MINAT MASUK KELAS MEMASAK

Kursus variasi tart di Kolej Komuniti Arau, Jejawi 
Proses melarik jem blueberry memang menarik 
Tart buah-buahan dan blueberry chesse yang dihasilkan



Sebenarnya dah beberapa kali aku nak ikuti kursus masak di Kolej Komuniti Arau di Jejawi ni...sejak balik dari Kuala Lumpur. Bukan apa aku suka sangat bab-bab berkaitan masakan ni walau diakui masa untuk memasak amat terhad.

Tetapi memang minat ni tumbuh sejak kecil lagi...memang gila membaca buku resepi..dah belajar buat biskut dan kek sejak tingkatan satu lagi. Cuma tak dimahirkan minat ini kerana asik tumpukan kepada pengajian dan pekerjaan.

Masa lapang kat pejabat atau rumah...aku sangat suka melayari blog masakan. Hebat macam-macam ilmu dapat ditimba.

Bagaimanapun nak juga belajar secara berguru. Alhamdulillah akhirnya aku dapat daftar untuk belajar buat dua jenis tart iaitu buah-buahan dan blueberry chesse di kolej komuniti ni sebab selalunya apabila buka sahaja laman web..masa daftar belajar di awal bulan aku pula lupa.

Kali ni aku juga buat nakal kat pejabat...ku pangkah sendiri off atau tak kerja di hari Isnin tanpa berbincang dengan bos sebab aku dengan dia asyik tak bertemu di tempat kerja...apa pun aku mesti juga pergi belajar buat tart.

Bayaran cuma RM35..mula dari pukul 2 hingga 7 petang. Ingatkan aku sorang saja tak pernah datang kursus kat sini tetapi kebanyakannya sama. Ramai juga la dan ada juga seorang lelaki.

Menarik aku semeja dengan dua lagi wanita seorang dari Parit Buntar (sanggup dia datang dari jauh kerana minat) dan seorang lagi dari Padang Besar.

Penerangan diberikan guru (tak tanya pun nama) dimulakan dengan cara membuat kulit tart...seterusnya inti dan sebagainya.

Apa pun menarik sebab dapat belajar dalam satu pasukan secara bergandingan...rupanya bukan tugas mudah sebab rasa sangat memenatkan. Macamana tu nak ambil tempahan???  Patutlah dijual dengan harga mahal. Namun aku seronok kerana akhirnya dapat merealisasikan impian nak ke kelas masakan di kolej ini.


Nak juga bergambar sambil membentuk tart

Sunday, July 7, 2013

PASAR SEHARI WANG KELIAN - SAMBIL KERJA SAMBIL MEMBELI-BELAH

Mesti nampak ini dulu sebelum melangkah ke Pasar  Sehari Wang Kelian
Tertarik dengan selipar unik, murah lagi selesa

Tiba-tiba terasa hari ini Ahad...7 Julai nak ke Pasar Sehari Wang Kelian...yang sangat tersohor....terutamanya kepada kaum wanita...tak sah kalau datang ke sini tak bawa balik peralatan dapur buatan Thailand...seperti periuk, pengukus ataupun Toto (comforter).

Malah hari ini juga `mood' aku nak menulis dalam blog kembali datang. Sebenarnya cukup susah nak mengarang...kecuali tulis main-main... Bagi wartawan macam aku...nak tulis berita sepuluh para setiap hari pun jenuh nak dapat idea...maka sebab tu malas nak kemaskini blog...penat mencari idea...tak cukup dengan  kerja menulis setiap hari.

Semangat nak pergi ni pun kerana nak mengajak abang kedua aku...kebetulan dia baru beli pikup baru..nak juga merasa kehebatan meluncur di laluan curam dan selekoh tajam di kawasan bukit sebelum sampai ke Wang Kelian.

Bukan nak berjalan saja...nak buat berita lah sama...sebab hari ini aku kerja dan kebetulan dalam jadual pun kosong....

Bila sebut Pasar Sehari Wang Kelian...kali pertama dibuka...aku yang buat liputan pada tahun 1989...dah tak ingat bulan berapa tetapi Gabenor Satun dan televisyen Thailand pun datang.

Bagaimanapun agak beberapa lama sekejap dibuka dan sekejap ditutup sebab faktor keselamatan.

Tetapi sejak 2009 ia dibuka semula di mana rakyat kedua negara ini bebas untuk masuk membeli-belah dalam jarak satu kilometer dari sempadan Malaysia- Thailand. Tanpa perlu ada passport atau pas sempadan.

Kami sampai di Wang Kelian kira-kira 8.30 pagi...masa yang sesuai untuk membeli-belah sebab bila dah nak masuk pukul 10 maka cuaca akan makin panas. Jadi apa lagi menapaklah dari tempat parkir kereta di tepi jalan sehingga ke Pasar Sehari ini.

Pada waktu ini sebenarnya orang Malaysia khususnya dari luar Perlis yang datang dengan bas, van dan kereta bertali arus. Begitu juga dengan orang Thailand.

Orang Malaysia membeli-belah di Thailand...orang Thailand membeli-belah di Malaysia. Adilkan kerana bukan untung di sebelah pihak sahaja.
 
Semuanya nak membeli-belah sebelum bulan Ramadan...nak jalan jauh di bulan puasa masing-masing dah tak larat.

Aku pula berjalan sampai ke penghujung pasar hanya untuk membeli ketupat pulut hitam untuk mak...sayangnya makanan ini yang dahulunya banyak sudah tidak dijual lagi. 

Sebelum datang lagi aku dah memikirkan hanya akan membeli barang yang unik dan hanya boleh didapati di Pasar Sehari Wang Kelian.

Jalan punya jalan mengikut kaki akhirnya aku terjumpa selipar...bukan sahaja nampak cantik, unik tetapi setelah dicuba amat selesa. Nah sekali aku beli sampai tiga pasang...satu harganya 100 bath atau RM10 tapi aku membeli-belah menggunakan duit Thailand...lagi untung. 

Bila tengok selipar ni biasa sahaja tetapi bak kata mak aku orang Siam ni suka membuat benda-benda baru yang akan membuatkan orang Malaysia tertarik untuk membeli. Selebihnya aku membeli alas kaki dan bantal kusyen.

Ini yang membuatkan sukarnya untuk menahan nafsu membeli barang ketika berkunjung ke Siam termasuk Wang Kelian. 


Saturday, April 20, 2013

PILIHAN RAYA UMUM KE-13 (PRU-13)

MUSIM PRU kembali...sebenarnya dah dua kali realitinya aku terlepas dari membuat liputan PRU ini.

Masa PRU-11 tahun 2004...aku di meja penyunting (sub-editor) di Utusan Malaysia,  sibuknya cuma di depan komputer sahaja. Bahang membuat liputan memang tak adalah.

Sekali lagi pada tahun 2008 (PRU-12) aku ditempatkan sebagai wartawan di meja Utusan Melayu Mingguan dalam tulisan jawi...jadi sah-sahlah tak terlibat secara langsung.

Tahun ini...PRU-13, peluang yang lama aku tunggu. Kali ini di Perlis...negeri kelahiranku. Bermula pada hari penamaan calon Barisan Nasional (BN) pada 15 April...maka bahangnya mula dirasa.

Lebih menariknya hari ini, aku ditugaskan di kawasan penamaan calon di Dewan Sivik, Arau.

Sini kawasan panas, maka ramai di kalangan media memilih untuk membuat liputan di sini.

Satu yang membuatkan aku merasai nikmatnya menjadi seorang wartawan...tunjuk sahaja kad Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan kad media....mudah sahaja menuju masuk ke dewan tempat pencalonan.

Lebih mengembirakan inilah peluangnya berjumpa dengan kesemua calon yang bertanding sedangkan penyokong berasak-asak panas dengan setia menunggu calon parti masing-masing di luar selama berjam-jam. Tidak mengapa sebab itu tanda kecintaan mereka terhadap parti.

Bagi aku adalah biasa jika bercerita tentang calon parti...tapi hari ini aku tertarik dengan dua calon Bebas...satu aku sempat interbiu di dewan dan satu lagi menerusi panggilan telefon.

Aku ucapkan tahniah kepada calon Bebas itu kerana ada keberanian untuk bertanding dengan calon-calon yang bernama besar. Ada kata dia kecewa kerana tidak terpilih.... Tapi dia kata sudah lama merencanakan hasratnya itu...demi untuk menjadi seorang calon kepada rakyat.

Begitu juga dengan seorang lagi calon Bebas...bersemangat tinggi untuk membantu rakyat dengan prinsipnya sendiri...dia juga bukan bukan calang-calang orang...berpendidikan tinggi dan mempunyai syarikat besar di tetapi tidak mempercayai untuk mewakili mana-mana parti atau tidak disenaraikan dalam parti yang dianggotai.

Dulu masa aku masih remaja, suka gelakkan calon Bebas sebab menganggap dengan berlambangkan kunci, payung dan sebagainya seolah-olah lekeh, tidak berprinsip, serta macam main-main untuk bertanding.

Tapi hasil permerhatian aku calon Bebas ini sememang bersemangat tinggi kerana bukan sahaja dituduh bakal menjadi `pemecah undi' kerana menganggu jumlah undian untuk calon yang diramal akan menang tetapi  jika calon Bebas menang pun tidak akan ke mana kerana tidak boleh mampu untuk membentuk sebuah kerajaan sendiri.


Saturday, April 6, 2013

JIRAN DAN PENGUATKUASA BANDARAN YANG ZALIM

Peristiwa pahit ini telah berlaku ke atas ibu saya pada pagi 12.11.12. Beberapa hari sebelum ibu menyambut hari lahirnya ke 70 tahun. Ibu pula memang menghidap penyakit darah tinggi sejak tahun 2000 dan tahap penglihatannya sudah rabun sejak sepuluh tahun yang lalu.

Kira-kira pukul 11 pagi...kira-kira selepas 20 minit saya keluar untuk ke tempat kerja, tiba-tiba ibu yang tinggal berseorangan di rumah (dia memang tinggal dengan saya di kawasan perumahan teres kembar dua di Kangar dikejutkan dengan panggilan jiran sebelah berusia (lelaki 50-an) yang beberapa kali membunyikan loceng.

Ibu dalam keadaan teraba-raba membukakan pintu dan keluar ke pintu pagar kerana memikirkan mungkin ada hal penting untuk diberitahu oleh jiran ini.

Rupa-rupanya jiran tadi datang dengan beberapa pegawai Majlis Perbandaran Kangar (MPK) termasuk Ketua Penguatkuasanya yang mahu keluarkan saman ke atas ibu kerana letak pasu bunga di jalan awam.

Jiran lelaki tadi memberi alasan dia tidak puas hati pasu bunga diletak di tepi jalan di hadapan rumah saya kerana menghalang dia untuk parkir lima kereta termasuk dua buah lagi di bahagian kiri dan kanan pagar saya pada setiap hari.

Sebetulnya ibu tidak tahu menahu pasal pasu bunga itu kerana saya yang meletaknya sebelum keluar dari rumah kerana untuk memudahkan saya mengambilnya untuk diletakkan di kampung kerana banyak sangat pasu bunga di dalam kawasan rumah. Itupun hanya tujuh buah pasu yang diletakkan di bahu jalan pada bahagian kiri pagar saya dan langsung tidak masuk kawasan jiran sebelah.

Berbalik pada kisah ibu saya, berkali-kali dia menjelaskan pada jiran dan penguatkuasa MPK yang dia tidak meletakkan pasu itu....jumpa saja saya (anaknya) orang yang meletakkan pasu ini. Tetapi yang menyedihkan cacian terhadap ibu oleh jiran ini yang sudah naik gila semakin menjadi-jadi.

Antara kata-katanya: ``Mak Wa sudahlah buta, tidak ada akal, perut busuk, nama sahaja pergi haji dua kali tapi buat menghabiskan duit, padan muka laki mati - termasuk dilepaskan cacian terhadap aruah ayah dan semua kata-kata itu diulang-ulang  dengan kuat bagai halilintar dan masih meletakkan ia sebagai kesalahan ibu kerana meletak pasu bunga di bahu jalan (pada hal langsung tidak menghalang laluan).

Kemudian datang seorang lagi jiran perempuan sebelah rumah untuk terus membuli ibu saya yang bersendirian tanpa sesiapa (saya pula baharu hampir sejam keluar rumah) dengan menambahkan lagi penghinaan terhadap ibu...`muka tak malu sanggup curi buah mempelam pokok kami' dan kemudian buang ranting ke rumah kami,'' - (kenyataannya mata ibu pun tak nampak macamana tahu ada buah?) 

Tidak cukup dengan itu...pegawai MPK juga memaksa ibu supaya segera mengangkat kesemua pasu bunga itu ke dalam kawasan rumah dan memberi amaran akan datang melawat lagi untuk memastikan arahan itu dipatuhi.

Dalam pada itu datang pula lagi dua anak perempuan jiran lelaki itu menolak-nolak ibu masuk ke rumah kononnya untuk menghalang ibu saya berkelahi sedangkan waktu itu mereka sepatutnya mententeramkan ayah mereka yang sedang naik gila memaki hamun orang tua. Ketika itu juga ibu dipaksa pegawai MPK untuk mengangkut pasu-pasu itu dalam keadaan cuaca panas terik untuk dimasukkan ke dalam kawasan rumah. Kesemua pasu itu pula memang berat.

Sebagai anak saya amat kesal kerana saya gagal menjadi pelindungnya pada ketika dia dibuli dgn manusia tidak berhati perut terus serang dengan kata-kata kesat tanpa ada belas kasihan.

Saya pula ketika itu pula baru sejam berada di tempat kerja dan dikejutkan dengan panggilan telefon dari jiran wanita di hadapan rumah yang hampir menangis menceritakan perbuatan kejam yang sedang diperlakukan terhadap ibu saya. Dia mahukan saya pulang segera ke rumah untuk melihat keadaan yang kejam ini. Tteapi sayangnya saya tidak sempat.


Sesungguhnya amat sukar untuk saya percayai bahawa perbuatan ini dilakukan oleh jiran sendiri sehingga ibu saya yang tidak berdosa perlu menghadapi semua ini berseorangan ...hanya air mata sahaja yang mampu mengalir tanpa henti. Ibu hampir tidak terkeluar suara sewaktu menceritakan kekejaman itu.


Amat memilukan kerana masih ada manusia di bandar sekecil ini berjiwa `ISRAEL'.....Biarpun sekarang sudah bulan April 2013....ibu dan saya masih tidak melupakan peristiwa pahit ini. Tidak akan sesekali memaafkan perbuatan kejam kesemua yang terlibat ini. 

Saya pula setiap kali ke majlis anjuran MPK akan bertemu dengan Ketua Penguatkuasa MPK yang zalim itu....yang akhirnya saya mendapat tahu adalah sepupu kepada isteri jiran yang kejam ini. Tak sanggup saya melihat orang seperti ini menggunakan undang-undang untuk kepentingan saudara-mara bagi membuli warga emas dengan kejam sekali.  

Saya (pemilik rumah) mendapat surat saman kerana melakukan perbuatan kacau ganggu hanya kerana letak tujuh pasu bunga letak di bahu jalan hadapan rumah sendiri. Perkara yang pelik tetapi undang-undang ini dilaksanakan untuk kepentingan keluarga sendiri bagi menakutkan jiran-jiran yang lemah.

Untuk pengetahuan pembaca blog ini yang budiman...jiran lelaki yang garang ini sebenarnya pernah berkhidmat di dalam pasukan Polis DiRaja Malaysia (PDRM) dan sebaik berhenti dia membuka empat kedai pajak gadai dan terbaru membuka kedai emas di Kuala Perlis atas nama isterinya.

Selain itu jiran ini tidak pernah rasa bersalah jauh sekali untuk meminta maaf kepada ibu sehingga ke hari ini.