Kalau tanya mana-mana wartawan pun, satu kepuasan setelah `berhempas-pulas' menghasilkan berita apabila keesokannya disiarkan sebagai tajuk utama pada muka depan akhbar.
Tetapi bagi aku yang dah lebih 20 tahun dalam bidang ini...sudah semakin hilang `keseronokan' itu...cuma rasa berbaloi sebab sudah agak lama tulisan aku tidak mendapat tempat di muka depan.
Biasanya berita muka depan hanya dimiliki oleh wartawan yang membuat liputan di meja am sahaja.
Aku pun tak menjangka berita ini boleh mendapat tempat di muka depan kerana kebanyakan rakan-rakan dari akhbar lain juga menyifatkan berita `perbicaraan pantas' cukup mencabar sehingga masing-masing sudah `berasap' kepala memikirkan apa yang perlu dijadikan sebagai intro dan para seterusnya untuk membuatkan ia menjadi sebuah berita yang menarik.
Sebenarnya memang agak sukar untuk mengendalikan `stress' jika kena buat liputan berita terutamanya berkaitan perundangan.
Pengalaman setahun di meja am pada 2009 (setelah tujuh tahun di meja lain kerana hanya menulis rencana) memang satu cabaran yang menarik malah membuatkan aku belajar tidak panik dengan sebarang kenyataan baru yang dikeluarkan.
Paling mudah tahu apa tujuan diadakan sidang akhbar atau majlis itu. Pedulikan perkara lain yang melalut. Fokus kepada fakta itu dan tulis dengan seberapa ringkas dan jelas. Tetapi jangan sesekali memandai menambah yang tidak disebut - dari pengalaman ini juga membuatkan aku dah biasa di mana melakukan tugas untuk berita muka depan ini dengan tenang sekalipun rakan media lain meluahkan tersangat `pening' .
Aku pula biasanya setiap pagi aku akan pastikan membaca Utusan Online. Tapi pagi 28 Jun aku jadi malas. Bukannya apa sebab tak rasa berita yang ditulis akan disiarkan. Malah ketika membaca akhbar Utusan di pejabatpun aku membelek muka Wilayah Utara dulu.
Pun tak nampak berita aku. Akhir sekali baru tengok muka depan. Alamak...bagai tak percaya...menjadi tajuk utama muka depan. Syukur alhamdulillah.....Ingatkan dah tak ada peluang untuk mendapat muka depan. :))