Sejak balik bertugas di kampung halamanku Perlis.....satu perkara yang aku nampak ketara apabila dunia kewartawanan di sini telah dicemari oleh segelintir pihak yang sanggup mengaku diri sebagai `orang media atau wartawan'.
Jauh dari sudut hati bukan aku nak mengecam orang-orang ini tetapi kenyataannya `layakkah mereka ini digelar sebagai `orang media atau wartawan'....janganlah mempergunakan jawatan ini untuk glamor atau sebagai `batu loncatan' bagi cita-cita yang lebih besar kerana perbuatan mereka ini telah menghina kredibiliti seorang wartawan yang berpegang teguh kepada etika.
Ya...dalam dunia yang dipenuhi dengan putar belit ini....perkara menyamar sebagai wartawan atau apa juga kerjaya sudah tidak menjadi asing lagi.....tetapi jika saban masa terpaksa bertembung dengan `orang media atau wartawan celup' ini naik berbulu juga kerana melihatkan gelagat mereka yang `lebih kuah dari sudu'....
Sedangkan wartawan sebenar....`tenang, pendiam, tidak menonjol diri, berpendirian tetap tanpa memihak kepada mana-mana puak, tak sibuk nak makan apa lagi meminta-minta barang cederamata kerana matlamat penting adalah untuk mendapatkan bahan berita'.
Fenomena `orang media atau wartawan celup' ini rupa-rupanya sudah lama berleluasa di negeri-negeri luar Kuala Lumpur termasuklah Perlis .
Kalau dihitung dari kelayakan dan pengalaman....boleh dikatakan kalangan yang mengaku `orang media dan wartawan' ini tidak memiliki semua ini kerana hanya menulis berita atau mengambil gambar pun ada tujuan tertentu termasuk membodek pihak-pihak tertentu atau untuk mendapat wang saku tambahan. Tapi mendakwa sebagai wakil agensi berita besar....kelebihan mereka cuma `bertugas' di kampung halaman...jadi muka sudah cukup dikenali bukan sahaja di kalangan orang ramai dan malah kenamaan.
Kenyataannya `orang media dan wartawan' ini memang menang dari segi populariti dan hubungan baik dengan pihak tertentu kerana sudah berakar umbi di kampung halaman sedangkan wartawan sebenar asyik bertukar lokasi kerja kerana terlibat dalam pertukaran setiap beberapa tahun sekali.
Jadi dunia sudah terbalik....wartawan sebenar dipinggirkan....`orang media dan wartawan celup' ini dipandang lebih hebat dan dirai...hingga membuatkan mereka ini rasa diri hebat...sampai Menteri Besar pun boleh diarah-arah bagai kawan-kawan...Ini yang buat aku tidak berkenan...sebab sikap orang-orang ini yang akan membuatkan orang luar akan kata `wartawan berlagak dan kurang ajar'...
Dari pemerhatian aku ke atas gelagat `orang-orang ini ' pada satu majlis petang tadi membuatkan aku terpaksa juga meluahkan isi hati yang berbuku ini ke dalam blog....
Aku yakin....jika `orang-orang ini' membuat permohonan untuk menjadi wartawan pun belum tentu akan dipilih walaupun sudah bertahun-tahun menjadi `orang media atau wartawan celup' kerana kelayakan sebagai wartawan... bukan sahaja perlu latar belakang akademik yang baik (sekarang ini boleh dikatakan 90 peratus wartawan berijazah) malah perlu berfikiran kritis, berani, peka dengan perkembangan semasa dan boleh menguasai bahasa Malaysia dan Inggeris.
Golongan yang mengaku `orang media dan wartawan' ini sebenarnya hanyalah pemberita sambilan atau dinamakan `stringer' sahaja. Jadi gunakan saja nama ini kerana itu yang selayaknya. Aku dulu pernah menjadi pemberita sambilan selepas tamat belajar dan aku tidak malu pun memperkenalkan diri sebagai `stringer' kepada sesiapa sahaja termasuk sumber.
Terasa malu hendak mengaku wartawan kerana rasa diri belum layak ke taraf itu.
Sebut pasal penggunaan nama wartawan secara berleluasa ini membuatkan aku teringat kembali ketika berbual dengan rakan sebelah semasa menghadiri kursus haji di Kangar dua tahun lalu. Disebabkan dia tanya kerja di mana maka aku seperti biasa menjawab `suratkhabar'. Dia pula terus mengandaikan aku seorang wartawan. Aku pula sekadar menjawabnya dengan anggukan dan senyum. Tiba-tiba aku diajukan soalan sama ada mengenali tak pasangan suami-isteri yang bertugas sebagai wartawan di Perlis (siap dengan nama lagi). Alamak....layak ke dia bergelar wartawan. Sebab orang ini sangat aku kenali maka saranan aku ada baiknya dia betulkan dahulu ejaan bahasa Malaysia sebelum isytihar sebagai wartawan.
Itu belum lagi seorang tukang rumah yang datang memperbaiki rumah aku telah memberitahu bahawa sebelum ni dia pernah menyiapkan rumah seorang wartawan...ini pun hal yang lebih kurang sama juga macam di atas.
Masing-masing rasa bangga dan megah untuk mengaku sebagai wartawan yang dianggap kerjaya glamor....akibatnya orang sekeliling juga dipermainkan dengan lakonan mereka.
Lebih mengejutkan lagi....sebuah persatuan yang mewakili wartawan di sini juga diterajui oleh orang-orang seperti ini...yang menumpang nama `media' sedangkan kerjaya ini hanya dilakukan secara sambilan atau `stringer'. Jadi wartawan sebenar termasuk aku hanya layak jadi `pak turut' sahaja di dalam persatuan tanpa sebarang kuasa dan kalau ada kuasa pun sudah dicucuk hidung oleh kelompok ini.
Itu belum kira lagi dengan kehadiran wajah-wajah baru yang cuba berjinak-jinak di bidang ini yang meletakkan nama jawatan sebagai journalist (wartawan) di dalam info Facebook (FB) sedangkan nama sebenar jawatan yang disandang mereka adalah pemberita sambilan (stringer).
Stringer adalah jawatan untuk mereka yang menulis berita secara sepenuh masa atau separuh masa dan bukannya kakitangan tetap di sesebuah agensi akhbar itu di mana gaji dibayar berdasarkan jumlah berita yang ditulis.
Jika ditawarkan dengan jawatan tetap pun, terlebih dahulu akan bergelar wartawan kadet (bermaksud dalam tempoh percubaan) yang biasanya memakan masa selama setahun.
Selepas itu baharulah layak digelar wartawan (journalist) dan boleh menjadi ahli Kesatuan Wartawan Kebangsaan (NUJ) untuk melindungi hak-hak sebagai wartawan.
Aku pula kalau ditanya kerja apa...lebih senang memberitahu `suratkhabar' sahaja...malas nak beritahu aku seorang wartawan...
Bukannya apa sebab aku tak pernah rasa kerjaya ini sebagai glamor walaupun telah lebih 20 tahun dalam bidang ini tiada siapapun yang mengenali aku bagai selebriti popular.
Sebab itulah aku jadi `berat mulut' kalau nak mengaku kerja sebagai wartawan...lagipun sakit telinga jika orang labelkan kerjaya ini sebagai penyibuk dan suka menganggu hidup orang. Jadi tidak ada apa yang nak dimegahkan pun.
Bagi kelompok yang suka mengaku `orang media dana wartawan celup' ini sebenarnya suka menggunakan jawatan ini untuk mencapai apa yang dicita-citakan selain kononnya glamor, dapat jumpa orang kenamaan untuk meminta sesuatu, jemputan ke majlis hebat yang orang biasa tak dapat hadir, dapat hadiah seperti `goodies bag', tempat makan VIP, dapat kemudahan seperti stiker parkir kereta dan sebagainya lagi.
Sekadar mengaku `orang media atau wartawan celup' ini memang mudah....tetapi bagi mereka yang sekian lama mengabadikan hidup dalam dunia kewartawanan seperti aku ini....akan terus mengharungi pahit-maungnya selagi tidak diberhentikan, memilih untuk berhenti awal atau tunggu sehingga pencen. Apa pun ikut daya tahan masing-masing.